Tuesday, November 12, 2013

Jom Tingkatkan Wakaf Kita ..

Assalamualaikum Warga Seri Bangi,
 
Alhamdulillah, tanggal 30 Oktober 2013, akaun Wakaf Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi telah pun dengan rasminya dibuka di Perbadanan Wakaf Selangor.
 
Ini bermakna, kami Jawatankuasa Pembinaan Surau telah pun diberi kuasa secara formal untuk mengutip dana/wakaf pembinaan surau ke ruang yang lebih luas, memandangkan surat kuasa telah pun dikeluarkan oleh Perbadanan Wakaf Selangor kepada ahli jawatankuasa yang dilantik.
 
Moga ini akan dapat menyuntik lagi semangat kami dan para dermawan sekalian untuk terus menerus menyumbang kepada akaun pembinaan surau.
 
Untuk makluman sekali lagi, berikut adalah informasi tentang akaun surau:
 
No. Akaun:     562834623089
Nama Akaun:  Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi
Bank:              Maybank Islamic, Bandar Baru Bangi.

Sebarang persoalan dan pertanyaan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau emailkan kepada arraudhahseribangi@gmail.com
 

Wednesday, October 23, 2013

Jadual Kuliyyah/Tazkirah @ Seri Bangi - Oktober 2013

Assalamualaikum Warga Seri Bangi,
 
Berikut adalah jadual Kuliyyah/Tazkirah yang akan diadakan di taman kita ini, untuk bulan Oktober 2013:
 
24 Oktober 2013 (Khamis)
Masa: Selepas solat Maghrib
Tajuk: Kuliyyah Tafsir Surah Al-Fatihah
Penceramah: Ustaz Hj. Mohammad Asraff Bin Ayob Al-Hafiz
 
31 Oktober 2013 (Khamis)
Masa: Selepas solat Maghrib **
Tajuk: Umum
Penceramah: Ustaz Hj. Zainal Abidin bin Abd. Karim Al-Banjari
** akan diadakan solat hajat & tahlil selepas solat Isyak

Para penduduk Seri Bangi khususnya, bolehlah merujuk jadual kuliyyah/tazkirah di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.
 
Sebarang persoalan tentang perjalanan pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi mahupun aktiviti anjuran surau, boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau emailkan pertanyaan/komen/pendapat ke arraudhahseribangi@gmail.com
 
 

Monday, October 14, 2013

Salam Aidil Adha 1434H

Kepada semua Warga Seri Bangi, kami Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1434H.
 
Moga segala pengorbanan kita dalam menegakkan agama Allah ini, terus-menerus diberkati dan diredhai Allah SWT.
 
Sebarang persoalan tentang perjalanan pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau email kepada arraudhahseribangi@gmail.com
 
 

Tuesday, September 3, 2013

Syawal 1434H semakin berlalu ..

Assalamualaikum Warga Seri Bangi,

Ramadhan telah lama berlalu. Kini, Syawal pula semakin meninggalkan kita. Itulah putaran yang kita lalui setiap tahun, yang seharusnya diisi dengan segala kebaikan sebagai bekalan kita di akhirat kelak.

Kami, Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, ingin menyeru seluruh Warga Seri Bangi khususnya, untuk sama-sama tingkatkan lagi usaha dalam mengisi tabung pembinaan surau Taman Seri Bangi.

Berdasarkan anggaran awal yang diberikan oleh arkitek, jumlah pembinaan secara keseluruhan ialah sebanyak RM600,000.00. Alhamdulillah, sehingga bulan Julai 2013, dana pembinaan surau telah mencecah kurang lebih RM130,000.00 (Insya Allah, kami akan menyiarkan jumlah kutipan dan perbelanjaan bulanan bermula Oktober 2013, juga progress pembinaan surau bagi rujukan para penduduk dan penderma).

Untuk makluman semula, berikut adalah akaun Maybank Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi:

   No. Akaun:    562834623089
   Nama Akaun: Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi
   Bank:             Maybank Islamic, Bandar Baru Bangi.

Sebarang persoalan dan pertanyaan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau emailkan kepada arraudhahseribangi@gmail.com


Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Perdana @ Seri Bangi 2013

Alhamdulillah, pada 28 Julai 2013 (bersamaan 19 Ramadhan 1434H), telah berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Perdana di Seri Bangi. Majlis berlangsung di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse. Program ini, adalah salah satu program yang dijalankan sempena Ihya' Ramadhan @ Seri Bangi 1434H / 2013M.



Program bermula dengan majlis khatam Al-Quran oleh semua peserta Tadarus Al-Quran yang terdiri daripada penduduk Seri Bangi, di ketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, Ustaz Mohamad Fiteri Razali yang juga merupakan Imam 1 surau. Selesai khatam Al-Quran, semua peserta diberikan saguhati dan ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, En. Mohammad Ezri Shamsuddin.



Acara kemuncak ialah majlis penyampaian sumbangan kepada asnaf-asnaf dari Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati Hulu Langat, dan juga anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim & Hidayah Hijrah Hulu Langat. Antara para jemputan yang hadir ialah Mudir Rumah Anak Yatim & Hidayah Hijrah Hulu Langat, Al-Fadhil Ustaz Khairu Anuar bin Mohd Amin, En. Shahril Fitri bin Nazri selaku wakil Islamic Relief Malaysia, Yang Dipertua Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati Hulu Langat, Pn Khadeeja Binti Hj. Masrah dan Saudara Shamsul Azahar Aliddin (atau dikenali dengan nama Shamsul Ghau-Ghau). 




Selesai majlis penyerahan sumbangan para hadirin dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua AJK Jawatankuasa Pembinaan Surau, AJK Persatuan Penduduk, Persatuan Muslimah dan seluruh penduduk Seri Bangi yang menjayakan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Sesungguhnya, kami mengharap perpaduan dan ukhuwah yang ditunjukan oleh para penduduk dapat diteruskan bagi kesejahteraan taman ini, juga sebagai pendorong kepada generasi pelapis untuk terus bersama meningkatkan ukhuwah sesama kita.


Program Bubur Lambuk Perdana Seri Bangi 2013

Alhamdulillah, pada 20 Julai 2013 (11 Ramadhan 1434H), Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Seri Bangi, telah menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana, bertempat di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.

Program ini, adalah salah satu program yang dijalankan sempena Ihya' Ramadhan @ Seri Bangi 1434H / 2013M.


Tujuan utama program ini ialah untuk mengutip dana pembinaan surau, sambil menggalakkan para penduduk untuk meneruskan amalan bersedekah, yang ganjarannya amat besar terutamanya di bulan Ramadhan.  

Setiap peket bubur lambut yang disediakan berharga RM3 yang mana ini akan terus dimasukkan ke dalam tabung pembinaan. Alhamdulillah, dengan kerjasama para penduduk, sebanyak lebih 1200 peket bubur lambut dapat dimasak dan disediakan, diketuai oleh "Chef Mattop".

Bubur ini kemudiannya dibahagikan kepada semua peserta dan juga diagihkan ke masjid dan sekolah agama terdekat, seperti Masjid UNITEN, Masjid Teras Jernang dan Madrasah Al-Jenderami.

Alhamdulillah, moga semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para penduduk Seri Bangi akan diteruskan, demi kesejateraan dan keharmonian Taman Seri Bangi.

Tuesday, July 9, 2013

Ramadhan Kareem dari kami - Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi

Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi ingin mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat, khususnya warga Seri Bangi. Sama-sama kita jadikan Ramadhan kali ini yang terbaik, Insya Allah.
 
Sempena bulan mulia ini, jom kita terus-menerus untuk menyumbang ke dalam tabung pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi :
 
                     No. Akaun:          562834623089
                     Nama Akaun:       Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi

                     Bank:                  Maybank Islamic, Bandar Baru Bangi.

Sebarang persoalan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau email kepada arraudhahseribangi@gmail.com
 

Friday, July 5, 2013

Ihya' Ramadhan @ Seri Bangi 1434H / 2013M

Assalamualaikum,
 
Alhamdulillah, dengan keizinan Allah SWT, kita masih lagi dapat bernafas sehingga ke hari ni. Marilah sama-sama kita terus-menerus tunjukkan rasa kesyukuran ke hadhrat Allah dengan meningkatkan dan memperbaiki amal ibadah kita.
 
Insya Allah, Ramadhan bakal menziarahi kita lagi tahun ini. Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi menganjurkan program Ihya' Ramadhan untuk penduduk Seri Bangi, sepanjang bulan Ramadhan.
 
Berikut adalah program-program berkenaan:
 
1. Solat Isyak dan Tarawih berjemaah.
    Bermula malam 1 Ramadhan sehingga 2/8/2013.
    Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.
 
2. Solat Subuh berjemaah.
    Bermula subuh 1 Ramadhan sehingga 2/8/2013.
    Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.
 
3. Program Bubur Lambuk Perdana
    20/7/2013 (Sabtu) selepas Asar
    Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.
 
4. Majlis Khatam Al-Quran & Buka Puasa Perdana
    28/7/2013 (Ahad) bermula selepas Asar sehingga solat Tarawih
    Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.
 
Marilah sama-sama kita meningkatkan ibadah kita pada bulan Ramadhan ini, dan insya Allah, dapat kita dipertemukan oleh Allah SWT dengan Lailatulqadar, seterusnya kita menjadi insan yang lebih bertaqwa dan cemerlang.
 
Untuk sebarang komen, pertanyaan atau ingin menyumbang dana kepada tabung pembinaan surau, bolehlah menghubungi mana-mana AJK atau menghantar emel ke arraudhahseribangi@gmail.com.
 
 

Thursday, June 6, 2013

Ceramah Isra' Mi'raj 2013

Alhamdulillah, kesyukuran kita panjatkan ke hadhrat Allah SWT kerana sehingga kini kita masih lagi diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini.

Bersempena memperingati peristiwa Isra' Mikraj, pada 27 Rejab 1434 bersamaan 7 Jun 2013, telah diadakan ceramah Isra' Mikraj di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse. Penceramah jemputan ialah Ustaz Fakhri Abd Rahman.

Al fadhil Ustaz menerangkan secara ringkas peristiwa-perstiwa yang dipaparkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sewaktu Israk Mikraj. Al fadhil Ustaz juga mengaitkan setiap pergerakan solat dengan kesihatan tubuh badan kita, serta menunjukkan cara yang betul dalam memastikan saf dalam keadaan sempurna. Satu perkara yang ditekankan ialah, solat berjemaah, walaupun ulama' mengkategorikan sebagai Fardhu Kifayah, meninggalkannya tanpa uzur syari'e adalah dianggap sebagai dosa besar.

 

Alhamdulillah, moga dengan tazkirah yang diberikan oleh penceramah, sedikit sebanyak dapat menambah ilmu para penduduk Seri Bangi tentang Israk Mikraj dan iplikasinya, di samping para penduduk dapat memperbaiki diri dalam usaha untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T, Insya Allah.

Wallahua'lam.

Sunday, May 12, 2013

Ceramah Kekeluargaan Bersiri di Seri Bangi

Alhamdulillah, dalam usaha Jawatankuasa untuk menambah kewangan untuk pembinaan surau, satu ceramah kekeluargaan bersiri akan diadakan di Taman Seri Bangi. Ceramah ini akan menyentuh bagaimana untuk menerapkan nilai-nilai kasih sayang di dalam sesebuah rumahtangga dengan membandingkan situasi sebelum dan sesudah berkahwin dalam konteks masa kini. Kupasan akan dibuat melalui 3 siri ceramah yang bersangkut paut di antara satu sama lain.
 
Berikut adalah jadual siri ceramah tersebut:
 
Siri 1 - Dilema Ombak Rindu
Tarikh: 16 Mei 2013 (Khamis)
Masa: 7.45 mlm (selepas solat maghrib) - 9.30 mlm
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Siri 2 - Ke mana Hangatnya Asmara
Tarikh: 13 Jun 2013 (Khamis)
Masa: 7.45 mlm (selepas solat maghrib) - 9.30 mlm
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Siri 3 & penggulungan - Adam & Hawa : Setia ke Hujung Nyawa
Tarikh: 22 Jun 2013 (Sabtu)
Masa: 9 pagi - 12 tengahari
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Jom kita sama-sama meramaikan majlis sambil menambah ilmu untuk sama-sama kita memperelok dan memperindahkan kehidupan kekeluargaan kita. Sudi-sudikanlah juga untuk menjemput sanak-saudara dan ahli keluarga untuk sama-sama memenuhi ceramah bersiri ini. Jangan lupa untuk kita terus memberikan sumbangan untuk pembinaan surau di taman yang kita kasihi ini.
 
BIODATA PENCERAMAH:
 

Syamsul Amri BIN Haji Ismail merupakan seorang penceramah bebas, pembimbing dan pengajar debat, pidato dan pengucapan awam. Mempunyai sarjana muda Undang-undang UiTM, beliau aktif dalam menyampaikan ceramah motivasi kekeluargaan dan pekerjaan di serata tanah air. Beliau juga merupakan Presiden Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia dan adalah Penceramah Utama Bussaina Consultant (BC) & I.O Consultant (IOC).
 

Thursday, May 2, 2013

Solat Berjemaah Mingguan - Perpaduan Ummah Diutamakan

Alhamdulillah, solat berjemaah Maghrib dan Isyak mingguan yang berlangsung pada setiap hari Khamis malam jumaat, setakat ini telah berjalan dengan lancar. Walaupun masih menumpang di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse kerana ketiadaan surau yang masih dalam proses pembinaan, Jawatankuasa Pembinaan Surau, Jawatankuasa Persatuan Penduduk beserta para penduduk sama-sama berganding bahu bagi memastikan kewajipan fardhu kifayah dilaksanakan di taman ini.
 
Di samping solat berjemaah dan bacaan yasin, aktiviti tazkirah juga diselang-selikan bagi memastikan para penduduk tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu agama sebagai bekalan di akhirat kelak.
 
Juadah makan malam juga disediakan secara gotong-royong oleh para muslimah untuk para jemaah yang hadir. Walaupun sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga, para muslimah masih terus komited dalam menyediakan hidangan yang enak dan berkhasiat.
 
Sesungguhnya semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para penduduk Seri Bangi amat dihargai dan semoga ia terus-menerus disemai dan diamalkan, bukan sahaja sehingga terbinanya surau di taman ini, malah sehingga ke generasi yang seterusnya, In syaa Allah.
 
Untuk sebarang komen, pertanyaan atau ingin menyumbang dana kepada tabung pembinaan surau, bolehlah menghubungi mana-mana AJK atau menghantar emel ke arraudhahseribangi@gmail.com.
 

Tuesday, April 23, 2013

Rekabentuk Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi

Alhamdulillah, dengan izin Allah, rekabentuk surau untuk Taman Seri Bangi telah dapat disiapkan. Jawatankuasa Pembinaan Surau telah melantik Norman Ezane Architect untuk menyiapkan rekabentuk surau.
 
 
 
Rekabentuk surau adalah berkonsepkan mesra alam untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan surau, di samping memudahkan kerja-kerja pembesaran surau sekiranya diperlukan di masa hadapan.
 
  
 
Rekabentuk surau terbahagi kepada dua struktur utama. Struktur pertama menempatkan ruang solat utama dan ruang koridor. Struktur kedua pula meliputi tandas, stor, ruang makan dan aktiviti, serta ruang untuk berwudhu'.
 
 
 
Semoga dengan tersiapnya rekabentuk surau ini, kerja-kerja pembinaan akan dapat dipercepatkan lagi, bagi merealisasikan impian penduduk Seri Bangi untuk mempunyai sebuah surau.

Sebarang persoalan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau email kepada arraudhahseribangi@gmail.com
 
Wallahua'lam.

Tuesday, April 16, 2013

Peluang Untuk Menambah Saham Akhirat

Alhamdulillah, kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT, kerana pancaindera kita tidak jemu-jemu untuk berbakti kepada kita, pada setiap detik dan waktu. Segala pujian bagi Allah.

Pengumuman kepada semua Warga Seri Bangi khususnya, Alhamdulillah, akaun bank untuk surau telah pun berjaya dibuka pada bulan March 2013. Terima kasih kepada yang telah membantu kami dalam proses pembukaan akaun ini.

Berikut adalah maklumat tentang akaun surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi :

No. Akaun: 562834623089
Nama Akaun: Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi
Bank: Maybank Islamic, Bandar Baru Bangi.

Marilah sama-sama kita infakkan sedikit daripada pemberian Allah untuk pembinaan surau di Seri Bangi ini. Seharusnya kita rebut peluang ini bagi menambahkan lagi saham kita di akhirat kelak.

Sebarang persoalan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau email kepada arraudhahseribangi@gmail.com


Terima kasih.
 

Thursday, February 14, 2013

PENGUMUMAN - Solat Jemaah

Kepada penduduk Seri Bangi, Insya Allah, seperti yang telah diwar-warkan di dalam Online Community Seri Bangi, solat maghrib dan isyak berjemaah serta bacaan yasin akan diadakan pada setiap hari Khamis malam Jumaat, di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse, bermula pada bulan Februari 2013.
Marilah sama-sama kita berjemaah, sambil merapatkan hubungan silaturrohim di kalangan warga Seri Bangi, juga sambil kita menderma ke dalam tabung pembinaan Surau Ar-Raudhah, Seri Bangi.

Untuk maklumat lanjut, boleh emailkan ke arraudhahseribangi@gmail.com, atau menghubungi mana-mana AJK pembinaan surau.

Ceramah Maulidurrasul Peringkat Seri Bangi 2013

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, satu ceramah perdana sempena Maulidurrasul telah diadakan di Seri Bangi pada 31 Januari 2013 yang lalu. Ini merupakan ceramah sulung yang pertama kali diadakan sejak penduduk Seri Bangi mula menetap di kawasan ini.

Penceramah jemputan ialah Al-Fadhil Ustaz Rosli Mokhtar dari KUIS. Tajuk yang dibicarakan oleh Al-Fadhil ustaz ialah "Hidup Berjiran Cara Rasulullah SAW".

Acara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Setiausaha JK Pembinaan Surau, En. Muhammad Fahmi Ismail. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi JK Pembinaan Surau, En. Mohammad Ezri Shamsuddin yang kemudiannya diteruskan dengan ceramah oleh Al-Fadhil ustaz.

Selepas solat Isyak, para jemaah bersama-sama berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi JK Pembinaan Surau, merangkap Imam 1, iaitu Ustaz Mohamad Fiteri Razali, sebelum semuanya bersurai dan menikmati juadah yang disediakan.

Alhamdulillah, dengan semangat gotong-royong AJK muslimin dan muslimah serta kerjasama daripada para penduduk, sambutan adalah amat menggalakkan dan majlis berjalan dengan lancar.

Semoga usaha murni ini diberkati oleh Allah S.W.T dan semangat cintakan ilmu ini diteruskan oleh semua penduduk Seri Bangi. Pada masa yang sama, semoga usaha AJK untuk mendirikan sebuah surau akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada  penduduk Seri Bangi sendiri.
 

Wallahua'lam.

Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah, Seri Bangi

Assalamualaikum,
 
Alhamdulillah, bersyukur ke hadhrat Allah akan kekuatan yang telah dikurniakan olehNya untuk kami meneruskan jihad kami sehingga terdirinya sebuah surau di Taman Seri Bangi ini.
 
Berikut ialah ahli jawatankuasa pembinaan Surau Ar-Raudhah, Seri Bangi yang telah dilantik. Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana untuk menghubungi mana-mana AJK, penduduk Seri Bangi boleh merujuk di papan kenyataan Multipurpose Hall, Seri Bangi, ataupun emailkan pertanyaan ke arraudhahseribangi@gmail.com, dengan menyatakan nama, alamat dan nombor telefon.
 
Pengerusi :
Mohammad Ezri Shamsuddin

Timbalan Pengerusi :
Mohamad Fiteri Razali

Setiausaha :
Muhammad Fahmi Ismail

Bendahari :
Adi Satria Jamaludin

Auditor Dalaman :
Syahril Shaari

Ahli Jawatankuasa : 
Ezuan Harris Arshad
Abdul Rahim Ishak
Zaiton Sahari – Muslimah
Fauziah Hj. Abdullah – Muslimah
Siti Zarina Abdullah – Muslimah
Kami amat memerlukan bantuan dan sokongan anda, terutamanya dalam bentuk dana kewangan. Marilah sama-sama kita menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang telah Allah kurniakan kepada kita, sebagai bekalan kita di akhirat kelak.