Thursday, May 2, 2013

Solat Berjemaah Mingguan - Perpaduan Ummah Diutamakan

Alhamdulillah, solat berjemaah Maghrib dan Isyak mingguan yang berlangsung pada setiap hari Khamis malam jumaat, setakat ini telah berjalan dengan lancar. Walaupun masih menumpang di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse kerana ketiadaan surau yang masih dalam proses pembinaan, Jawatankuasa Pembinaan Surau, Jawatankuasa Persatuan Penduduk beserta para penduduk sama-sama berganding bahu bagi memastikan kewajipan fardhu kifayah dilaksanakan di taman ini.
 
Di samping solat berjemaah dan bacaan yasin, aktiviti tazkirah juga diselang-selikan bagi memastikan para penduduk tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu agama sebagai bekalan di akhirat kelak.
 
Juadah makan malam juga disediakan secara gotong-royong oleh para muslimah untuk para jemaah yang hadir. Walaupun sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga, para muslimah masih terus komited dalam menyediakan hidangan yang enak dan berkhasiat.
 
Sesungguhnya semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para penduduk Seri Bangi amat dihargai dan semoga ia terus-menerus disemai dan diamalkan, bukan sahaja sehingga terbinanya surau di taman ini, malah sehingga ke generasi yang seterusnya, In syaa Allah.
 
Untuk sebarang komen, pertanyaan atau ingin menyumbang dana kepada tabung pembinaan surau, bolehlah menghubungi mana-mana AJK atau menghantar emel ke arraudhahseribangi@gmail.com.
 

No comments:

Post a Comment