Tuesday, September 3, 2013

Syawal 1434H semakin berlalu ..

Assalamualaikum Warga Seri Bangi,

Ramadhan telah lama berlalu. Kini, Syawal pula semakin meninggalkan kita. Itulah putaran yang kita lalui setiap tahun, yang seharusnya diisi dengan segala kebaikan sebagai bekalan kita di akhirat kelak.

Kami, Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, ingin menyeru seluruh Warga Seri Bangi khususnya, untuk sama-sama tingkatkan lagi usaha dalam mengisi tabung pembinaan surau Taman Seri Bangi.

Berdasarkan anggaran awal yang diberikan oleh arkitek, jumlah pembinaan secara keseluruhan ialah sebanyak RM600,000.00. Alhamdulillah, sehingga bulan Julai 2013, dana pembinaan surau telah mencecah kurang lebih RM130,000.00 (Insya Allah, kami akan menyiarkan jumlah kutipan dan perbelanjaan bulanan bermula Oktober 2013, juga progress pembinaan surau bagi rujukan para penduduk dan penderma).

Untuk makluman semula, berikut adalah akaun Maybank Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi:

   No. Akaun:    562834623089
   Nama Akaun: Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi
   Bank:             Maybank Islamic, Bandar Baru Bangi.

Sebarang persoalan dan pertanyaan boleh diajukan kepada mana-mana AJK Pembinaan Surau, atau emailkan kepada arraudhahseribangi@gmail.com


Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Perdana @ Seri Bangi 2013

Alhamdulillah, pada 28 Julai 2013 (bersamaan 19 Ramadhan 1434H), telah berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Perdana di Seri Bangi. Majlis berlangsung di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse. Program ini, adalah salah satu program yang dijalankan sempena Ihya' Ramadhan @ Seri Bangi 1434H / 2013M.



Program bermula dengan majlis khatam Al-Quran oleh semua peserta Tadarus Al-Quran yang terdiri daripada penduduk Seri Bangi, di ketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, Ustaz Mohamad Fiteri Razali yang juga merupakan Imam 1 surau. Selesai khatam Al-Quran, semua peserta diberikan saguhati dan ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, En. Mohammad Ezri Shamsuddin.



Acara kemuncak ialah majlis penyampaian sumbangan kepada asnaf-asnaf dari Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati Hulu Langat, dan juga anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim & Hidayah Hijrah Hulu Langat. Antara para jemputan yang hadir ialah Mudir Rumah Anak Yatim & Hidayah Hijrah Hulu Langat, Al-Fadhil Ustaz Khairu Anuar bin Mohd Amin, En. Shahril Fitri bin Nazri selaku wakil Islamic Relief Malaysia, Yang Dipertua Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati Hulu Langat, Pn Khadeeja Binti Hj. Masrah dan Saudara Shamsul Azahar Aliddin (atau dikenali dengan nama Shamsul Ghau-Ghau). 




Selesai majlis penyerahan sumbangan para hadirin dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua AJK Jawatankuasa Pembinaan Surau, AJK Persatuan Penduduk, Persatuan Muslimah dan seluruh penduduk Seri Bangi yang menjayakan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Sesungguhnya, kami mengharap perpaduan dan ukhuwah yang ditunjukan oleh para penduduk dapat diteruskan bagi kesejahteraan taman ini, juga sebagai pendorong kepada generasi pelapis untuk terus bersama meningkatkan ukhuwah sesama kita.


Program Bubur Lambuk Perdana Seri Bangi 2013

Alhamdulillah, pada 20 Julai 2013 (11 Ramadhan 1434H), Jawatankuasa Pembinaan Surau Ar-Raudhah Taman Seri Bangi, dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Seri Bangi, telah menganjurkan Program Bubur Lambuk Perdana, bertempat di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse.

Program ini, adalah salah satu program yang dijalankan sempena Ihya' Ramadhan @ Seri Bangi 1434H / 2013M.


Tujuan utama program ini ialah untuk mengutip dana pembinaan surau, sambil menggalakkan para penduduk untuk meneruskan amalan bersedekah, yang ganjarannya amat besar terutamanya di bulan Ramadhan.  

Setiap peket bubur lambut yang disediakan berharga RM3 yang mana ini akan terus dimasukkan ke dalam tabung pembinaan. Alhamdulillah, dengan kerjasama para penduduk, sebanyak lebih 1200 peket bubur lambut dapat dimasak dan disediakan, diketuai oleh "Chef Mattop".

Bubur ini kemudiannya dibahagikan kepada semua peserta dan juga diagihkan ke masjid dan sekolah agama terdekat, seperti Masjid UNITEN, Masjid Teras Jernang dan Madrasah Al-Jenderami.

Alhamdulillah, moga semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para penduduk Seri Bangi akan diteruskan, demi kesejateraan dan keharmonian Taman Seri Bangi.