Sunday, May 12, 2013

Ceramah Kekeluargaan Bersiri di Seri Bangi

Alhamdulillah, dalam usaha Jawatankuasa untuk menambah kewangan untuk pembinaan surau, satu ceramah kekeluargaan bersiri akan diadakan di Taman Seri Bangi. Ceramah ini akan menyentuh bagaimana untuk menerapkan nilai-nilai kasih sayang di dalam sesebuah rumahtangga dengan membandingkan situasi sebelum dan sesudah berkahwin dalam konteks masa kini. Kupasan akan dibuat melalui 3 siri ceramah yang bersangkut paut di antara satu sama lain.
 
Berikut adalah jadual siri ceramah tersebut:
 
Siri 1 - Dilema Ombak Rindu
Tarikh: 16 Mei 2013 (Khamis)
Masa: 7.45 mlm (selepas solat maghrib) - 9.30 mlm
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Siri 2 - Ke mana Hangatnya Asmara
Tarikh: 13 Jun 2013 (Khamis)
Masa: 7.45 mlm (selepas solat maghrib) - 9.30 mlm
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Siri 3 & penggulungan - Adam & Hawa : Setia ke Hujung Nyawa
Tarikh: 22 Jun 2013 (Sabtu)
Masa: 9 pagi - 12 tengahari
Tempat: Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse
 
Jom kita sama-sama meramaikan majlis sambil menambah ilmu untuk sama-sama kita memperelok dan memperindahkan kehidupan kekeluargaan kita. Sudi-sudikanlah juga untuk menjemput sanak-saudara dan ahli keluarga untuk sama-sama memenuhi ceramah bersiri ini. Jangan lupa untuk kita terus memberikan sumbangan untuk pembinaan surau di taman yang kita kasihi ini.
 
BIODATA PENCERAMAH:
 

Syamsul Amri BIN Haji Ismail merupakan seorang penceramah bebas, pembimbing dan pengajar debat, pidato dan pengucapan awam. Mempunyai sarjana muda Undang-undang UiTM, beliau aktif dalam menyampaikan ceramah motivasi kekeluargaan dan pekerjaan di serata tanah air. Beliau juga merupakan Presiden Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia dan adalah Penceramah Utama Bussaina Consultant (BC) & I.O Consultant (IOC).
 

Thursday, May 2, 2013

Solat Berjemaah Mingguan - Perpaduan Ummah Diutamakan

Alhamdulillah, solat berjemaah Maghrib dan Isyak mingguan yang berlangsung pada setiap hari Khamis malam jumaat, setakat ini telah berjalan dengan lancar. Walaupun masih menumpang di Multipurpose Hall, Seri Bangi Clubhouse kerana ketiadaan surau yang masih dalam proses pembinaan, Jawatankuasa Pembinaan Surau, Jawatankuasa Persatuan Penduduk beserta para penduduk sama-sama berganding bahu bagi memastikan kewajipan fardhu kifayah dilaksanakan di taman ini.
 
Di samping solat berjemaah dan bacaan yasin, aktiviti tazkirah juga diselang-selikan bagi memastikan para penduduk tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu agama sebagai bekalan di akhirat kelak.
 
Juadah makan malam juga disediakan secara gotong-royong oleh para muslimah untuk para jemaah yang hadir. Walaupun sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga, para muslimah masih terus komited dalam menyediakan hidangan yang enak dan berkhasiat.
 
Sesungguhnya semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para penduduk Seri Bangi amat dihargai dan semoga ia terus-menerus disemai dan diamalkan, bukan sahaja sehingga terbinanya surau di taman ini, malah sehingga ke generasi yang seterusnya, In syaa Allah.
 
Untuk sebarang komen, pertanyaan atau ingin menyumbang dana kepada tabung pembinaan surau, bolehlah menghubungi mana-mana AJK atau menghantar emel ke arraudhahseribangi@gmail.com.